|
Pengunjung yang Budiman,
Majlis-majlis Haul Al-Imam Qutub Al-Irshad Al-Habib Abdullah
bin Alawi bin Muhammad Al-Haddad telah selamat di adakan pada Oktober dan November 2008
di sekitar Malaysia dan Brunai.
Semoga yang hadir
mendapat manfaat dan balasan yang sebaiknya dari Allah SWT.
Kepada mereka yang tidak berkesempatan untuk menghadiri
majlis-majlis ini, ataupun berada di luar Malaysia, bolehlah melayari paparan
video di halaman web ini nanti.
Majlis-majlis ini diadakan sempena mengenang peninggalan
seorang Mujaddid Islam abad kedua belas Hijrah yang bernama All-Habib Abdullah
bin Alawi bi Muhammad Al-Haddad atau nama ringkasnya Imam Al-Haddad. Beliau
terkenal sebagai sesorang yang mengandungi ilmu yang luas lagi bermanfaat.
Bukan sahaja untuk insan yang hidup pada zaman beliau, bahkan kepada sesiapa
sahaja tanpa batasan zaman atau umur. Kehilangan daya penglihatannya dari umur
empat tahun telah digantikan Allah SWT dengan kebolehannya yang luar biasa
menyerap ilmu dan meyebarluaskannya.
Di sini kami muatkan halaman ini dengan petikan riwayat
Al-Habib Abdullah bin Alawi Al-Haddad diikuti dengan sedutan kata-kata beliau
berkenaan dengan kelebihan berzikir kepada Allah SWT.
Seterusnya diisikan dengan dua amalan zikrullah yang cukup
lengkap dan terkenal kemujarabannya iaitu Ratib Al-Haddad dan Wirdul-Latif serta
terjemahan dan syarahan terperinci untuk maklumat umum. Juga kami isikan
beberapa sya’ir dari ratusan yang dikarang beliau yang kerap dinasyidkan dalam
Majlis Maulud serta Majlis Ilmu dan sering juga berkumandang di banyak majlis di
negeri-negeri benua Afrika, Eropah dan Asia. Seterusnya kami petik secebis
kata-kata mutiara beliau tentang takwa sebagai pesanan kepada para murid beliau.
Al-Imam Al-Haddad telah mengesyorkan suatu sistem bacaan
surah-surah Al-Quran pada setiap raka’at dalam solat fardhu. Kepada pembaca
yang berminat untuk mempraktiskannya, silalah muat turun jadual dengan susunan
surah tersebut yang tersedia di halaman web ini. Kami juga turut muatkan
senarai buku-buku karangan beliau yang telah dicetak untuk dimanfaatkan oleh
masyarakat Islam khususnya yang kebanyakannya telah diterjemahkan ke dalam
bahasa Inggeris, Melayu, Swahili, Jerman dan lain-lain. Banyak dari kalangan
penuntut dan pembaca buku-buku ini menceritakan tentang seringnya terbongkar
rahsia-rahsia ilmu yang baru setiap kali diulang bacaan mereka. Wallahu A’lam.
Tujuan kami khususnya ialah memperkenalkan Al-Imam Al-Haddad
kepada masyarakat Nusantara Melayu dengan lebih dekat supaya lebih ramai lagi di
kalangan kita bakal mendapat nikmat dari apa yang dihadiahkan oleh beliau
seperti banyak dan sering diperdengar dari mereka yang berpengalaman dengan ilmu
yang ditaburkannya dan amalan yang disyorkannya.
Diharap dengan adanya laman web ini, dapat membantu kita
mendapat petunjuk Allah SWT serta meneruskan perjalanan hidup kita di alam ini
dan alam seterusnya di dalam perlindungan, maghrifah dan rahmat-Nya. Ameen.
Hawi
Al Khairat |